fbpx

Rexy sedia tangkis tekanan pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REXY (kanan) sedia memikul tanggungjawab memastikan pemain tidak berdepan tekanan luar sebelum ke Olimpik Paris.

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky sedia menjadi barisan hadapan untuk menangkis tekanan yang akan dihadapi skuad negara menjelang misi memburu emas di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.

Tegas Rexy, beliau hanya mahu komitmen daripada pemain meningkatkan prestasi mereka bermula Malaysia Masters dari 21 hingga 26 Mei ini diikuti Terbuka Singapura (28 Mei-2 Jun) dan Terbuka Indonesia (4-9 Jun)

Menurut bekas pemenang pingat emas Olimpik 1996 itu, beliau mahu barisan jurulatih yang menanggung beban terutama daripada tekanan anasir luar ketika Olimpik Paris kini hanya berbaki kurang 73 hari sebelum membuka tirainya dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan pemain dan jurulatih pada Isnin lalu bagi bercakap mengenai perkara ini. Saya tidak mahu pemain fikir mengenai perkara lain selain latihan dan kejohanan mereka.

“Saya sudah maklumkan kepada jurulatih yang terbabit dengan program RTG (Road to Gold), mereka mesti berkorban untuk pastikan pemain dalam keadaan terbaik. Kita mahu pemain tahu yang jurulatih mengambil tanggungjawab untuk menjaga mereka.

“Sebagai balasan, saya hanya mahu komitmen daripada pemain dan mereka perlu beraksi pada tahap terbaik di Olimpik,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di ABM, Bukit Kiara semalam.

Wakil negara akan ke Olimpik Paris menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selain pemain perseorangan lelaki dan wanita profesional iaitu Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei.

Ketika ditanya mengenai persiapan skuad negara ke Olimpik Paris, Rexy menegaskan mereka terpaksa mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelak daripada diketahui pihak lawan.

“Kita terlalu baik, kadang-kadang pemain pun terlalu baik dengan pihak lawan. Waktu temu bual kita kongsikan semua, sekali gus mendedahkan kekuatan dan kelemahan kepada umum.

“Jadi, kita perlu lebih berhati-hati apatah lagi ini adalah tahun yang penting (Olimpik). Ada anda dengar China bercakap mengenai Chen Yu Fei (perseorangan wanita), ada?

“Apa yang boleh saya kongsikan ialah pemain negara yang layak ke Paris akan berada di Sarawak untuk menjalani sesi pemulihan selepas berakhir tiga kejohanan tahun ini. Selebihnya, apa yang akan dilalui pemain kita tidak boleh dedahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI