LONDON – Manchester United dilaporkan sudah mengenal pasti pengganti kepada pemain pertahanan tengah mereka, Raphael Varane yang akan meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan yang akan dibuka Jun nanti.
Varane mengumumkan keputusan untuk meninggalkan United selepas kontrak semasanya bakal berakhir musim panas ini selepas menyertai pasukan itu pada 2021 dan kedua-dua pihak memilih untuk tidak mengaktifkan klausa 12 bulan sambungan kontrak.
Keputusan yang dibuat Varane itu melegakan United apabila mereka mampu menjimatkan bayaran gaji mingguan sebanyak £350,000 (RM2.07 juta) pemain itu dan mendapatkan pemain baharu yang lebih murah.
Ketika ini tersebar spekulasi mengaitkan United dengan pemain pertahanan tengah Fulham, Tosin Adarabioyo secara percuma selepas kontraknya di Craven Cottage berakhir hujung musim ini ketika dia juga turut menjadi buruan Newcastle United.
Pengarah teknikal baharu United, Jason Wilcox dilaporkan mencadangkan nama pemain itu kepada pihak pengurusan kelab, malah beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa Adarabioyo ke skuad utama ketika di Manchester City biarpun tidak membuat sebarang penampilan.
Pemain berusia 26 tahun itu musim ini menjadi antara pemain tonggak skuad kendalian Marco Silva selepas membuat 20 penampilan pada aksi Liga Perdana Inggeris dan membantu Fulham selesa melepasi zon penyingkiran.
Sebelum ini, bekas pemain England bawah 19 tahun itu dilaporkan sangat berminat untuk menyertai Newcastle ekoran pengaruh Eddie Howe sebagai pengurus pasukan itu, namun minat yang dipamerkan United mungkin membuatkannya menukar fikiran. – AGENSI