PETALING JAYA – Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab, memulakan tugas pada hari pertama mengemudi pasukan khas itu semalam dengan menggunakan payung terjun.
Melalui laman Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM), panglima GGK yang ke-17 itu bermula dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan mendarat menggunakan payung terjun hingga ke drop zone pejabatnya di Markas 21 GGK, Kem Iskandar, Mersing, Johor.
Terjunan itu juga turut diiringi dengan 118 pegawai dan anggota komando yang lain melakukan latihan berkonsepkan penerjunan statik dan bebas.
“Penerjunan statik dilaksanakan di sekitar Pantai Pasir Landa manakala penerjunan bebas dilaksanakan pada ketinggian 10,000 kaki di Padang Kawad MK 21 GGK menggunakan pesawat C130H milik TUDM yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
“Setelah mendarat di Drop Zone, Panglima 21 GGK disambut oleh Pegawai Memerintah dan Pegawai Kanan GGK di Padang Kawad 21 GGK.
“Acara diteruskan dengan demonstrasi penyusupan dan serangan yang diakhiri dengan perletakan bendera di Pejabat Panglima 21 GGK sebagai simbolik hari pertama memulakan tugas,” tulis BTDM.
Sementara itu, portal berita Air Times News Network melaporkan, latihan tersebut merupakan latihan tahunan yang dilaksanakan oleh warga GGK, namun kali ini dilakukan seiring dengan hari pertama Ahmad Suhaimi memulakan tugas sebagai Panglima 21 GGK.
Jelas Ahmad Suhaimi, latihan yang dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kompetensi semua anggota terutamanya yang mempunyai kemahiran kursus.
“Kita perlu memastikan setiap peringkat bermula yang paling tinggi sehingga peringkat bawah terlibat dengan latihan dan sebagai contoh pada hari ini (semalam), kita melakukan terjunan bersama saya dan semua pemerintah serta anggota,
“Ia menunjukkan secara tidak langsung bahawa prinsip di dalam GGK agar kita sentiasa melaksanakan latihan itu berasaskan ‘lead by example’ ataupun kepimpinan melalui teladan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.