fbpx

Liga Super: Akhyar sudah siap kembali pamer bisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKHYAR (kiri) kembali menjalani latihan bersama TFC selepas insiden samun sebelum ini.

PEMAIN Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid kembali menyertai sesi latihan buat kali pertama kelmarin selepas hampir sembuh daripada kecederaan akibat insiden samun menimpanya dua minggu lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu kelihatan bersemangat untuk turun ke padang bagi membantu rakan sepasukan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang baru membuka tirai minggu lalu.

“Buat masa ini, saya cuma menjalani latihan ringan sementara menunggu dua jahitan pada kaki kiri dibuka dalam sehari, dua ini.

“Saya harap kecederaan di­alami segera sembuh sepenuh­nya bagi membolehkan saya menjalani latihan penuh bersama rakan sepasukan sekaligus menyertai aksi kompetitif,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Akhyar yang merupakan pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) telah disamun dua lelaki tidak dikenali yang me­larikan beg dan dompetnya melibatkan kerugian RM4,800 pada pukul 8.30 malam 2 Mei lalu.

Akhyar berkata, walaupun masih trauma dengan insiden hitam berkenaan, dia cuba me­nguatkan semangat dan mengembalikan semula prestasi­nya di padang.

Tambah pemain sayap itu, dia akan berusaha mendapatkan kepercayaan pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk terpilih dalam kesebelasan utama skuad Sang Penyu bagi aksi kedua Liga Super menentang Penang FC pada Ahad ini.

Dalam pada itu, Akhyar menye­rahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan terhadap kes samun menimpanya.

“Buat masa ini, saya tidak dimaklumkan perkembangan terbaharu, namun telefon bimbit saya masih dalam simpanan PDRM untuk siasatan,” katanya.

Akhyar juga menghargai semua pihak termasuk rakan sepasukan dan penyokong yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI