JAKARTA – Anggota penyelamat Indonesia bertungkus-lumus mencari berpuluh-puluh mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat dan aliran lahar sejuk menenggelamkan beberapa kawasan kejiranan serta menghanyutkan rumah pada hujung minggu lalu.
Setakat ini, bencana berhampiran sebuah gunung berapi di wilayah Sumatera Barat itu telah mengorbankan 58 orang.
Hujan lebat selama berjam-jam pada Sabtu lalu menyebabkan lumpur dan batu mengalir ke daerah berhampiran Gunung Marapi, menghanyutkan berpuluh-puluh rumah serta merosakkan jalan.
“Berdasarkan data terkini, jumlah kematian adalah sebanyak 58 orang,” ujar ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, jumlah mangsa yang hilang meningkat kepada 35 orang daripada 22 pada semalam. Sementara itu, 33 orang dilaporkan cedera.
Pasukan penyelamat berkata, kebanyakan mayat ditemui di kawasan sekitar sungai berhampiran selepas dihanyutkan oleh banjir lahar gunung berapi, lumpur dan hujan yang memusnahkan kawasan kejiranan.
Aliran lahar sejuk mengandungi bahan vulkanik seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa menuruni lereng gunung berapi oleh air hujan.
Dalam pada itu, banjir tersebut telah menyebabkan lebih 3,300 orang berpindah dari kawasan yang terjejas.
Bagi membantu usaha menyelamat, pihak berkuasa menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca, istilah yang digunakan oleh pihak berkuasa Indonesia bagi pembenihan awan. – AFP