ALOR SETAR – Seorang lelaki kerugian lebih RM1 juta setelah terperdaya dengan sindiket penipuan pelaburan di Facebook, yang didakwa menyalahgunakan nama sebuah syarikat antarabangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga berusia 57 tahun mula tertipu dengan taktik sindiket itu sejak Februari lalu.
“Mangsa pada mulanya menekan satu pautan di Facebook sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp. Dia kemudian membuat bayaran modal sebanyak RM2,000 sebelum mendapat keuntungan berjumlah RM780.
“Berikutan itu, mangsa telah menambah bayaran modal melalui 21 transaksi melebihi RM1.1 juta. Dia bagaimanapun tidak mendapat sebarang keuntungan daripada pelaburan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, lebih meragukan apabila mangsa seterusnya diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM900,000 bagi mendapatkan kesemua wang yang telah dilaburkan.
“Curiga dengan permintaan itu, lelaki terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, Khamis lalu, dan hasil siasatan mendapati laman Facebook yang menggunakan nama syarikat pelaburan antarabangsa, Warburg Pincus itu adalah palsu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE