KUANTAN – Seorang peniaga didenda RM300,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyeleweng sebanyak 96,542 liter diesel pada Mac tahun lalu.
Tertuduh, Eng Ching Huang, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Maimoonah Aid.
Ching Huang didakwa memiliki barangan kawalan yang juga barang berjadual iaitu bahan api diesel sebanyak 96,542 liter dalam keadaan mencurigakan.
Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 8 Mac 2023 bertempat di Jeti 2, Lorong Industri Tanah Putih Baru, Tanah Putih di sini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Syamsul Kahar Ahmad Nadzri dan Noor Baizura Masori manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman tinggi dan setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama selain memberi mesej jelas kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
Hakim memutuskan tertuduh dihukum denda RM300,000 atau penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE