IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah sebuah premis dan stor di Desa Rishah Indah di sini pada pukul 11.45 pagi semalam yang disyaki menjual pelbagai barangan tiruan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan itu ekoran aduan oleh pihak tersebut berhubung penjualan pelbagai kasut, selipar dan stokin berjenama terkenal disyaki tiruan di premis dan stor terbabit.
“Hasil maklumat siasatan, kesemua kasut ini diperolehi dari negara luar dan kesemua stok ini adalah bagi tujuan penjualan borong dan juga melalui platform e-dagang.
“Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab sebagai pengurus syarikat.
“Hasil pemeriksaan lanjut di premis dan stor tersebut, pasukan serbuan telah menyita 10,997 pasang kasut, selipar dan stokin yang berjenama. Jumlah sitaan bagi kesemua premis ini dianggarkan bernilai RM135,500,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, wakil pemilik cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019. – KOSMO! ONLINE