GEORGE TOWN – Situasi rakyat yang membanjiri pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membuat permohonan melakukan pemindahan wang ke Akaun Fleksibel menunjukkan mereka kini berdepan dengan tekanan kewangan yang serius.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Oh Tong Keong berkata, keadaan itu juga menunjukkan rakyat berdepan dengan isu inflasi dan kos sara hidup yang meningkat secara mendadak sehingga ada dalam kalangan mereka tertekan dengan perbelanjaan harian.
“Melalui fenomena ini, kita dapat merasai kegelisahan dan keresahan rakyat mengenai masa depan mereka,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, tujuan pelaksanaan penstrukturan semula akaun ahli KWSP dengan melibatkan Akaun Fleksibel atau Akuan 3 adalah untuk membantu orang ramai atau pencarum menangani isu kewangan mereka apabila dalam keadaan kecemasan. – KOSMO! ONLINE