PARIS – Polis Perancis memburu beberapa lelaki bersenjata yang melakukan serangan hendap dan menyerang konvoi penjara di Normandy bagi membebaskan seorang banduan, lapor stesen penyiaran CNN.
Insiden semalam itu turut membunuh dua orang pengawal penjara serta mencederakan tiga yang lain.
Menteri Kehakiman Perancis, Eric Dupond- Moretti berkata, insiden berlaku ketika kenderaan itu sedang membawa seorang banduan dari mahkamah ke penjara berdekatan.
Tambah beliau, dua mangsa yang cedera mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi bertarung nyawa di hospital.
Video dari tempat kejadian menunjukkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam terbakar selepas merempuh van penjara tersebut berhampiran sebuah pondok di lebuh raya.
“Kumpulan penembak tersebut masih berkeliaran di luar sana,” kata polis di platform X.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, usaha sedang dibuat bagi memburu pelaku jenayah itu supaya keadilan dapat dicapai atas nama rakyat Perancis. – AGENSI