PETALING JAYA – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Qatar ternyata membuka suatu lembaran baru hubungan 50 tahun Malaysia dan Qatar.
Anwar berkata, secara keseluruhannya, lawatan itu berjaya mengukuhkan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara, selain meningkatkan kerjasama pelbagai bidang.
“Saya dan delegasi Malaysia menamatkan lawatan rasmi di Qatar. Saya optimis hubungan baik yang mencapai separuh abad ni akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat kedua-dua negara.
“Salut saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Qatar selama tiga hari bermula Ahad lalu atas jemputan Yang Mulia Sheikh Tamim Hamad Al Thani, Amir Qatar.
Menurutnya, hari terakhir lawatan di Doha tertumpu kepada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 dan pertemuan bersama Presiden Poland, Andrzej Duda.
“Saya juga sempat merasmikan kampus luar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ia juga merupakan Universiti Awam negara yang pertama membuka cawangan di luar,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE