PETALING JAYA – Penyanyi rap Alyph melahirkan rasa kecewa apabila sentimen kenegaraan antara Singapura dan Malaysia masih menjadi perdebatan ramai dalam media sosial, susulan kontroversi melibatkan Aliff Aziz baru-baru ini.
Lebih membuatkan Alyph atau nama lengkapnya Muhammad Alif Abdullah, 34, kecewa apabila sentimen sebegitu masih dijadikan isu segelintir pihak ketika dunia semakin maju.
“Sudah memasuki tahun 2024. Saya ingat kita semua sudah maju dan tiada sentimen sebegini lagi, tetapi nampaknya masih ada yang mahu membangkitkan isu sebegini lagi.
“Pendirian saya ialah muzik saya tiada pasport. Jadi apa-apa yang terjadi dan bukan melibatkan keluarga saya, bukan hal saya,” katanya kepada HibGlam selepas pelancaran single baharunya, Dari Jauh di sini, sebentar tadi.
Pelantun lagu Swipe itu turut berpendapat, untuk menjaga nama baik negara, individu tersebut perlu menjaga nama baik diri dan juga keluarga.
“Untuk jaga nama baik negara, kita perlu jaga diri sendiri dahulu. ‘Kemas rumah’ dulu dan nama ibu bapa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alyph turut mengakui takut membaca komen-komen netizen dalam media sosial, selain melihat ragam manusia yang pelbagai.
“Saya takut baca komen dan lihat macam-macam perangai manusia dalam dunia ini
“Media sosial sangat seram dan menakutkan. Bukan takut sampai nak menyorok, tapi saya susah nak percaya orang.
“Pada akhirnya, saya terima semua komen itu sebab dalam dunia ini ada pelbagai jenis manusia,” katanya lagi.
Sejak kebelakangan ini, sentimen warganegara melibatkan dua negara itu meruncing selepas kecoh isu curang Aliff Aziz yang juga merupakan warganegara Singapura. – KOSMO! ONLIN