SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sedang giat mengesan seramai 1.5 juta umat Islam yang belum menunaikan zakat biarpun berkelayakan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, pihaknya menyediakan pelbagai platform termasuk usaha berdakwah bagi memberi kesedaran kepada golongan itu.
Tegasnya, individu-individu berkenaan mungkin tidak menerima maklumat atau belum bersedia menunaikan tanggungjawab menunaikan rukun kelima Islam tersebut.
“Kami kena melihat pelbagai aspek dan pendekatan seperti demografi usia antaranya kaedah media sosial bagi golongan muda manakala medium elektronik dan cetak kepada mereka yang lebih berusia
“Selain itu, kami telah memperkenalkan silibus zakat yang wajib diajar di sekolah-sekolah agama di negeri ini,” katanya pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor (GRASIAZ) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Sabirin menjelaskan, seramai 12,095 asnaf fakir dan miskin dikenal pasti di daerah Petaling sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi tahun lalu. -KOSMO!ONLINE