fbpx

Pejabat dipecah masuk, Ayu Puteh rugi RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayu Puteh mengalami kerugian berjumlah RM1 juta selepas pejabatnya dipecah masuk beberapa minggu lalu.

KAJANG – Menanggung kerugian mencecah RM1 juta, penerbit, Datuk Ayu Puteh mengakui wujud unsur khianat apabila lapan footage (rakaman) naskhah yang belum ditayangkan rosak akibat disimbah air.

Katanya, master footage untuk tiga drama bersiri juga dilarikan selepas pejabat miliknya di Damansara Damai, Petaling Jaya dipecah masuk, kira-kira dua minggu lalu.

“Saya tidak pasti motif di sebalik kejadian pecah masuk ini tetapi polis mengesyaki ada unsur khianat dan siasatan masih diteruskan bagi mencari dalangnya.

“Paling terkilan apabila salah satu master footage drama bersiri yang hilang itu adalah bahan bukti untuk kes mahkamah yang masih lagi berjalan.

“Buat masa ini semuanya dalam siasatan. Kami tunggu perkembangan dan berharap pelaku dapat diberkas,” katanya kepada HibGlam di rumah terbuka penerbit filem D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, baru-baru ini.

Menurut pemilik syarikat Pencil Pictures itu, tiga master footage drama yang dilarikan adalah Di Sebalik Dia yang diterbitkan sebanyak 26 episod, Yang Bakal Mati Ramadan Ini (22 episod) serta Baby Tak Gila (16 episod).

Beberapa footage filem yang rosak pula membabitkan judul Ada Apa Dengan Dosa serta Autumn In Wales.

“Memang kami rugi besar namun yang pasti semua karya untuk drama bersiri itu belum disiarkan di mana-mana platform, jadi selepas ini jika dimuatnaik secara haram, pihak berwajib boleh jejak pelaku,” ujarnya.

Menurut produser itu lagi, dalam insiden tersebut semua kamera litar tertutup (CCTV) di premis pejabatnya turut dirosakkan bagi menghapuskan bukti.

“Sekitar 10 tahun lalu pejabat saya pernah dipecah masuk tetapi kerugian tidak sebanyak ini, bahkan selepas itu saya tingkatkan lagi keselamatan dengan menambah CCTV.

“Kali ini lebih 10 kamera yang dipasang sudah dirosakkan malah litar perakam juga dicuri dan disyaki untuk menghilangkan jejak mereka,” katanya.

Ditanya sama ada perbuatan ‘orang dalam’ atau dia mempunyai musuh, Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, 48, percaya perkara itu didalangi individu yang pernah datang ke premis pejabatnya.

Hal ini kerana penceroboh mengetahui susun atur barangan penting termasuk peti besi dan kedudukan CCTV.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia dan kakitangan kini lebih berhati-hati untuk menyimpan kandungan footage drama dan filem mereka.

“Ketika ini, kami sedang sibuk membuat salinan footage drama dan filem yang masih ada dan tidak dilarikan untuk disimpan di tempat lain selain menambahbaik sistem keselamatan.

“Polis turut menasihatkan jangan simpan barang kes yang sedang berjalan di mahkamah di rumah atau pejabat kerana memang tidak selamat,” katanya.

Pada awal pagi 25 April lalu, Ayu dihubungi pekerjanya yang memaklumkan kejadian pecah masuk di premis pejabatnya di Petaling Jaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI