IPOH – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan selama 30 hari bermula 4 November depan bagi perbicaraan kes bunuh pelajar lelaki tingkatan lima yang dihadapi seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu ketika prosiding sebutan kes ke atas Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, di Mahkamah Tinggi Ipoh, di sini hari ini.
Tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan adalah pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember, dan diteruskan pada 6 hingga 10, serta 13 hingga 17 Januari 2024.
Terdahulu, Mohd. Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Bhupindar Singh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023. – KOSMO! ONLINE