PETALING JAYA – Perdana Menteri bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan diapit oleh mantan pengerusi, Khaled Mashal.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook berkata, dalam pertemuan itu beliau sempat menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.
“Saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan.
“Sejak konflik meletus lapan bulan yang lalu, ratusan ribu rakyat Palestin terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, kerana kekejaman rejim Zionis,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengulangi pendirian Malaysia untuk terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah.
“Sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.
“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, pertubuhan kerjasama Islam (OIC), dan masyarakat antarabangsa,” ujarnya.
Pada masa sama katanya, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.
Terdahulu, Anwar semalam tiba di Doha, Qatar untuk lawatan rasmi dua hari atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE