TAPAH – Perak melakar sejarah sebagai negeri pertama menerima dana Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebanyak sembilan komuniti Jabatan Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpilih di negeri ini dengan dana keseluruhan sebanyak RM779,940.
“Program ini merupakan pengisian kepada kerangka ekonomi Madani yang berteraskan konsep Malaysia Madani dengan berfokuskan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam meningkatkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat dan menangani isu miskin tegar,” katanya pada Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2024 Siri 3 di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Projek-projek yang menerima dana itu merangkumi penanaman sayur secara hidroponik, pisang abu, tebu, fertigasi penanaman cili, pembuatan kuih tradisional dan penternakan ikan air tawar.
“Setakat 13 Mei 2024, Perak masih mencatatkan sebagai negeri yang tertinggi dari aspek penjanaan ID Komuniti pengguna Sistem MySejati Madani iaitu sebanyak 276 komuniti, manakala dari aspek jumlah permohonan program yang diterima adalah sebanyak 86 permohonan,” katanya.- KOSMO! ONLINE