fbpx

Gangguan bekalan air di Lembah Klang, 5 Jun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Sebanyak lapan wilayah di sekitar negeri Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mengalami gangguan bekalan air pada 5 Jun depan berikutan kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Air Selangor dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook sebentar tadi memaklumkan, antara kawasan terlibat adalah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan akan bermula seawal 9 pagi pada 5 Jun (Rabu) hingga pukul 7 malam hari yang sama.

“Para pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula pada pukul 3 pagi, 6 Jun 2024 (Khamis) setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan,” katanya.

Tambah Air Selamgor, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya sekitar waktu tengah hari pada 7 Jun.

“Untuk makluman, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

“Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Air Selangor berkata, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.

“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka.

“Antaranya di Braemar Estet (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang), serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” kata syarikat itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI