PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca hujan berserta ribut petir di lapan negeri termasuk Selangor sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Selangor, melibatkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling dan Sepang.
“Cuaca buruk sama turut dijangka melanda semua kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor malam ini.
“Di negeri Perak dan Pahang pula, hujan lebat berserta ribut petir turut dijangka di Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin,” ujar Metmalaysia.
Selain itu, hujan lebat, angin kencang dan ribut petir juga dijangka tertumpu di Sarawak, melibatkan beberapa kawasan di Kuching, Serian (Serian), Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong (Betong), Sibu (Selangau), Kapit (Song, Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau dan Sebauh) dan Miri (Beluru dan Marudi).
“Sementara itu di Sabah iaitu di kawasan Pedalaman (Tambunan) dan Pantai Barat juga turut diramalkan berlaku hujan lebat dan ribut petir sehingga 9 malam hari ini. – KOSMO! ONLINE