fbpx

Ugut, minta wang tebusan RM50,000 lepas larikan mangsa ke Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara gambar yang dihantar kepada keluarga supaya melakukan pindahan wang sebanyak RM50,000

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penipuan di sempadan Thailand-Myanmar kini beralih dengan membuat ugutan terhadap keluarga selepas melarikan mangsa ke negara terbabit.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, dua keluarga dari Pulau Pinang dan Pahang menjadi mangsa apabila sindiket meminta wang RM50,000 sebagai tebusan.

“Bukan hanya menggunakan taktik penawaran kerja, mereka (sindiket) kini melarikan mangsa dan mengugut ahli keluarga mereka bagi mendapatkan wang.

“Pada masa sama, sindiket tersebut akan menghantar mesej ugutan dan gambar mangsa dikurung atau dikelar tangan, didera kepada keluarga mereka,” katanya pada sidang akhbar di Menara Avenue 1, di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, seorang mangsa dikenali Vyncent, 19, dari Pahang datang ke Kuala Lumpur pada 22 April lalu dengan menaiki bas dan sehari kemudian dilaporkan berada di Myanmar.

Menurut bapanya, Chang, 57, anaknya yang bekerja sebagai jurujual komponen kenderaan menghantar mesej melalui WeeChat mengenai keberadaannya di negara tersebut.

“Dia menghantar pesanan suara dan meminta wang RM50,000 untuk dihantar pulang. Dia ada menghantar gambar dalam keadaan bergari, namun saya tidak pasti individu itu adalah anaknya,” ceritanya.

Nasib sama menimpa penghantar barangan Kau, 37, yang dilarikan sindiket setelah mengikuti rakannya untuk berkunjung ke Thailand bagi upacara sembahyang pada 6 Mei lalu.

Isteri mangsa, Law, 33, memberitahu, dia sempat berpesan kepada suaminya untuk berkongsi lokasi kerana bimbang akan keselamatan lelaki tersebut sebaik tiba di Thailand pada 7 Mei lepas.

“Suami saya beritahu dia ditangkap orang jahat dan dibawa masuk ke sempadan Myanmar. Selepas itu, dia meminta wang RM50,000 sebagai tebusan, jika tidak dia akan dijadikan hamba selama tiga tahun di sana.

“Saya sangat bimbang dan hampir setiap hari menerima mesej ugutan dan gambar dia dipukul. Suami hantar gambar kepalanya berbalut dan berdarah akibat dipukul.

“Saya yakin (individu) yang menghantar mesej itu bukan suami saya kerana dia tidak tahu tulis Cina, biasanya dia akan buat pesanan suara sahaja,” ujarnya.

Jelas Hishamuddin, pihaknya melarang ahli keluarga daripada membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan sindiket bertindak lebih agresif.

“Ahli keluarga tidak membuat pindahan wang sebanyak RM50,000 seperti yang diminta kerana tiada jaminan bahawa anak, keluarga akan dilepaskan jika berbuat demikian.

“Semakin dibayar, semakin banyak sindiket akan meminta wang tebusan. Cara terbaik untuk atasi adalah untuk tidak berkomunikasi dengan sindiket,” tegasnya.

Sehubungan itu, MHO meminta ibu bapa serta keluarga agar sentiasa berkongsi perkembangan semasa mengenai taktik sindiket khususnya sindiket pekerjaan luar negara kepada orang tersayang.

Pihaknya menasihati orang ramai agar tidak masuk perangkap sindiket yang menawarkan pekerjaan dengan gaji yang tidak masuk akal bagi mengelak menjadi mangsa sindiket seterusnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI