KATHMANDU – Mahkamah Agung mengarahkan kerajaan Nepal mengehadkan bilangan permit yang dikeluarkan untuk mendaki Everest dan gunung lain ketika Kathmandu bersiap sedia menghadapi kemuncak musim pendakian.
Rantau Himalaya menempatkan lapan daripada 10 puncak tertinggi di dunia dan menyambut ketibaan beratus-ratus pendaki setiap kali musim bunga.
Peguam yang memfailkan petisyen tersebut, Deepak Bikram Mishra berkata, Mahkamah Agung mengambil kira kebimbangan orang ramai tentang gunung-gunung di Nepal dan keadaan alam semula jadinya.
“Mahkamah ini mengarahkan kerajaan Nepal mengehadkan bilangan pendaki dan menguatkuasakan langkah pengurusan sisa buangan serta pemuliharaan alam sekitar gunung,” kata Deepak.
Keputusan kes itu dikeluarkan akhir bulan lalu tetapi ringkasan mengenainya hanya diterbitkan minggu ini.
Namun, ringkasan keputusan kes tersebut tidak menyebut jumlah tepat permit yang akan dikeluarkan.
Nepal ketika ini mengeluarkan permit kepada sesiapa sahaja yang memohon dan sanggup membayar yuran sebanyak AS$11,000 (RM52,208) untuk mendaki Gunung Everest.
Bilangan pendaki terlalu ramai telah mengakibatkan berlakunya kesesakan di laluan Everest pada 2019.
Pada tahun lalu pula, sebanyak 478 permit mendaki dikeluarkan, manakala tahun ini, sebanyak 945 permit mendaki dikeluarkan termasuk 403 untuk Gunung Everest. – AFP