fbpx

Status enam Ahli Parlimen Bersatu masih kekal – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari

KUALA LUMPUR – Enam wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal sebagai Ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, Dewan Rakyat belum menerima sebarang notis daripada Bersatu berhubung status keahlian enam Ahli Parlimen parti itu susulan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan baru-baru ini.

Menurut beliau, selagi perkara itu tidak melibatkan Parlimen, beliau tidak akan terlibat memandangkan hal tersebut adalah isu politik dan isu pentadbiran melibatkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)

“Hinggalah mereka selesai masalah mereka dan akhirnya datang kepada saya untuk meminta pandangan atau keputusan, waktu itu saya akan buat.

“Sekarang ini tidak ada apa-apa berlaku lagi, notis apa pun tidak terima, satu surat dan e-mel tiada. Saya anggap tiada ada apa-apa berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada House Committee of The Legislative Council of The Hong Kong Special Administrative Region (LEGCO) di Bangunan Parlimen hari ini.

RoS sebelum ini meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian Ahli Parlimen daripada Bersatu yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan dan seterusnya mengosongkan kerusi mereka.

Ahli Parlimen daripada Bersatu terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Turut memberi sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Johari seterusnya mengingatkan semua pihak, beliau tidak akan campur tangan isu berkaitan parti politik dan perkara yang berlaku di luar Parlimen bukan dibawah bidang kuasa beliau.

“Sama ada satu parti nak ubah, tambah atau tukar perlembagaan parti itu juga bukan masalah saya. Begitu juga apa terjadi kepada satu keanggotaan bukan masalah saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI