fbpx

Masuk senarai artis diboikot, Nadhir Nasar mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADHIR Nasar mengakui meneruskan promosi produk menyokong Zionis bagi mengelakkan penalti atau tindakan undang-undang.

PETALING JAYA – Nama berada dalam artis ingin diboikot netizen, pelakon Nadhir Nasar memohon maaf atas khilafnya berikutan masih mempromosikan produk dan jenama mewah yang menyokong Zionis.

Menurut Nadhir atau Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 28, keputusan bekerjasama dengan beberapa jenama mewah tersebut telah dilakukan lebih awal kerana percaya dapat membantu melebarkan karier seninya ke tahap lebih tinggi.

“Maaf atas kekhilafan saya dan rakan artis yang lain. Netizen mempunyai hak untuk bersuara dan impak tersebut sangat besar, percayalah.

“Kerjasama dengan jenama tersebut dibuat tahun lalu dan berdasarkan keadaan ketika itu. Keputusan saya bekerjasama dengan mereka berdasarkan komitmen ikhlas untuk memupuk kreativiti dan menyokong artis seperti saya.

“Walaupun memahami dan menghormati kebimbangan yang dikemukakan, adalah penting saya teruskan komitmen kontrak saya dengan mereka,” katanya.

Tambah bintang filem Pendekar Awang itu, denda dan penalti yang tinggi akan dikenakan sekiranya dia ingin membatalkan mana-mana kontrak yang sudah ditandatangani sebelum ini.

“Usaha menamatkan kontrak sebelum tamat tarikh kontrak akan memberi impak seperti denda, penalti wang dan potensi dikenakan tindakan undang-undang.

“Perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya malah orang lain yang terlibat dalam kolaborasi berkenaan,” ujarnya,

Sedar dengan ketidakpuashatian ramai, dia menegaskan mengambil serius setiap maklum balas peminat dan akan menanganinya dengan lebih berhati-hati selepas ini.

Bahkan, juga berjanji akan menggunakan setiap platform media sosialnya dengan berkongsi perkara positif.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa saya mengambil maklum balas dengan serius, dan saya komited untuk menangani sebarang kebimbangan dengan cara yang telus dan membina.

“Pada masa akan datang, saya akan terus melibatkan diri dengan komuniti dan berusaha untuk menggunakan platform saya untuk mempromosikan positif dan perubahan sosial,” katanya lagi.

Terdahulu, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka.

Antara nama besar yang diboikot ketika ini ialah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga, dan Justin Bieber.

Netizen Malaysia juga turut tidak ketinggalan menyuarakan hal sama dan menyenaraikan beberapa nama selebriti yang dikatakan masih mempromosikan produk menyokong Israel tanpa segan silu.

Selain Nadhir, nama artis tempatan yang turut disebut ialah Scha Alyahya, Daiyan Trisha, Eyka Farhana, Nabila Razali, Ameera Khan dan Neelofa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI