IPOH – Dua kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 263.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Nahas itu berlaku berhampiran lokasi kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa 39 penumpang yang terbabas dan terbalik ke dalam longkang, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 8.23 pagi.
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero milik KKM dinaiki dua lelaki.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kenderaan masing-masing berusia 49 dan 43 tahun cedera di bahagian muka.
“Kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya di sini hari ini.
Menerusi laporan media semalam, seramai 21 penumpang bas cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki terbabas di Kilometer 264.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora. – KOSMO! ONLINE