PONTIAN – Seorang pekerja warga asing rentung dalam kejadian kebakaran di bilik sewa bangunan rumah kedai dalam kejadian di Taman Mutiara, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba, Mahadir Mamat, lelaki berusia 34 tahun itu ditemui meninggal dunia di dalam sebuah bilik berhampiran dengan dapur.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.05 tengah hari dan menghantar Pasukan Keluaran Operasi (PKO) seramai 19 anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik PKO tiba di lokasi, terdapat kebakaran sebuah rumah kedai tiga tingkat dengan kebakaran berlaku di tingkat dua yang diubah suai menjadi bilik sewa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mahadir, terdapat enam buah bilik sewa di tingkat dua menempatkan 12 orang pekerja asing dan enam buah bilik sewa juga tingkat tiga yang dihuni seramai 12 orang pekerja.
“Kebakaran hanya berlaku di tingkat dua dan ketika kejadian, semua pekerja asing yang bercuti pada hari ini sedang bersiap untuk ke bandar Pontian bagi membeli barangan keperluan harian,”katanya.-KOSMO! ONLINE