fbpx

Elly persiap diri kejar impian jadi kaunselor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELLY berhasrat menjadi seorang kaunselor profesional selepas menamatkan pengajian di UM.

“BARU-BARU ini, saya ada terbaca satu kajian oleh University of California, Amerika Syarikat yang mengatakan belia berumur 18 hingga 39 tahun mengalami perubahan simptom kebimbangan (anxiety) yang tinggi daripada sembilan peratus (%) kepada 21%.”

Itulah kata-kata Nurfilzah Emily Mohamad Khairuddin, saat memulakan perkongsian bersama iGen.

Ujar gadis berusia 25 tahun itu, mungkin agak janggal memulakan sebuah perbualan dengan sekilas fakta yang meresahkan sebegitu.

Menurut anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang lebih mesra disapa Elly itu, fakta tersebut menyebabkan dia memilih bidang kesihatan mental dalam kalangan belia sebagai fokus kajian tahun akhirnya di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

“Walaupun dapatan kajian yang diterbitkan dalam jurnal antarabangsa itu mengkhususkan kepada tempoh pandemik Covid-19, saya percaya kesannya tetap dirasai sehingga kini.

“Lebih-lebih lagi dengan pelbagai perubahan drastik sosioekonomi dan geopolitik yang berlaku dalam tempoh pascapandemik ini.

“Di Malaysia, melalui pengamatan saya sendiri, ramai belia yang masih bergelut menyesuaikan diri dalam kehidupan yang serba mencabar ketika ini, terutamanya dalam menangani kenaikan kos sara hidup,” katanya.

ELLY merupakan pelajar di Universiti Malaya.

Tambah gadis pencinta kucing yang pernah menjadi ‘cat groomer’ separuh masa itu, dia mengakui, minatnya terhadap bidang kesihatan mental belia berputik apabila diperkenalkan teori personaliti diri semasa menuntut di peringkat diploma.

“Keterujaan saya menyelami kepentingan setiap daripada kita terutamanya belia, kemahiran mengenali personaliti diri dan mereka di sekeliling telah mendorong minat berkenaan.

“Kemahiran ini bukan sahaja membantu kita meneroka dinamik sebuah perhubungan sosial, malah membina laluan kerjaya yang progresif dan bermakna untuk seorang belia,” tambahnya yang membesar di Seri Manjung, Perak.

Meneruskan perkongsian, gadis yang kini berada di tahun akhir jurusan Sarjana Muda Kaunseling itu tidak sekadar fokus kepada kajian tahun akhirnya, malah aktif di luar dewan kuliah.

Katanya, dia pernah menyertai misi sukarelawan kendalian Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi di Semporna, Sabah pada tahun 2018.

Tidak setakat itu, anak sulung daripada dua beradik tersebut juga pernah mengendalikan program menyantuni penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Kuala Lumpur.

Minat terhadap bidang sukarelawan turut membawanya mempelajari bahasa isyarat bagi menjayakan sebuah program bersama orang kelainan upaya kendalian Malaysian Relief Agency (MRA).

Dalam kesibukannya sebagai seorang mahasiswa, Elly sempat menyertai sebuah program pertukaran pelajar antarabangsa di Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia pada tahun lalu.

ELLY berpeluang menyertai program pertukaran pelajar di UNESA, Indonesia.

Selain itu, peminat masakan asam pedas dan masak lemak itu juga meluangkan masa berkhidmat dalam Persatuan Kaunseling UM (Perkum) dan Perwakilan Parlimen Wanita Muda Kawasan Lumut, Perak.

“Saya percaya penglibatan aktif sebegini mampu membina jati diri seorang graduan yang bakal menyertai masyarakat kelak.

“Tambahan pula, saya bercita-cita untuk menjadi kaunselor berdaftar dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi untuk mengejar impian menjadi seorang kaunselor profesional.

“Saya yakin penglibatan sebegini akan mempersiapkan saya ke arah itu dengan pengalaman berharga mendekati pelbagai segmen masyarakat,” katanya.

Gadis petah berkata-kata dan tidak lokek dengan senyuman itu turut menjadikan selebriti serba boleh, Dr. Soo Wincci sebagai teladannya.

“Bekas Miss World Malaysia 2008 itu bukan sahaja cantik luaran, malah menjadikan ilmu pengetahuan sebagai pelengkap ‘kecantikan’ dalamannya meneruskan pengajian sehingga peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

“Saya juga ingin menurut jejak pensyarah-pensyarah saya di Jabatan Psikologi dan Kaunseling Pendidikan UM yang meneruskan kajian di dalam bidang diminati hingga ke peringkat pascasiswazah,” ujarnya lagi.

Sempena Hari Ibu yang disambut semalam, Elly mendedikasikan kejayaannya merangkul segenggam ijazah kelak khusus kepada ibu bapanya yang banyak menyokong perjalanannya menuntut ilmu selama ini.

“Mungkin perjalanan saya agak lama berbanding orang lain kerana menempuhi pengajian diploma dahulu. Namun, saya percaya dengan ketentuan Tuhan pasti ada hikmahnya.

“Saya yakin semua cabaran dan halangan ditempuhi bakal mempersiapkan saya menjadi seorang kaunselor berjaya suatu hari nanti,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI