KLANG – Kes kebocoran dan penularan maklumat aturan perjalanan serta tempat penginapan pasukan bola sepak Selangor FC diharap menjadi kes terakhir berlaku di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kebocoran maklumat ini dikhuatiri akan menyebabkan ada pihak yang akan melakukan tindakan tidak sewajarnya, sekaligus menganggu aturan sesebuah pasukan itu menghadapi sesebuah perlawanan.
“Saya faham yang mana sukan bola sepak amat diminati majoriti rakyat negara ini. Namun, saya harap tidak ada mana-mana pihak yang ghairah menularkan maklumat mengenai aturan perjalanan dan tempat penginapan sesebuah pasukan.
“Keselamatan pemain dan pegawai pasukan bola sepak juga perlu dijaga. Jadi saya harap tiada lagi kebocoran maklumat seperti ini lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Rakan Bumi Inisiatif Untuk Program Penanaman Bakau 2024, hari ini
Media sebelum ini melaporkan aturan perjalanan serta tempat penginapan pasukan bola sepak Selangor FC di Johor untuk perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT dibocorkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ini menjadi salah satu faktor yang membuat pasukan tersebut menarik diri daripada beraksi pada piala tersebut, selain serangan jenayah yang dihadapai pemain sayap kanannya, Faisal Halim.
Dalam pada itu, Hannah berharap, polis dapat memaklumkan berhubung siasatan mereka terhadap kes simbahan asid Faisal supaya rakyat Malaysia mengetahui perkembangan kes berkenaan. – KOSMO!ONLINE