BANGKOK – Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati mencuri ratusan pakaian dalam wanita di bandar Chiang Mai, Thailand baru-baru ini, lapor laman berita The Thaiger.
Lelaki berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Fang itu dikatakan telah mencuri pakaian dalam wanita sejak dua tahun lalu.
Jurucakap polis berkata, suspek ditahan selepas seorang wanita berumur 29 tahun yang menginap di sebuah hotel di bandar itu membuat laporan polis apabila mendapati beg pakaiannya dicuri.
“Selepas meneliti rakaman televisyen litar tertutup di sekitar hotel, polis berjaya mengesan dan mengenal pasti identiti suspek.
“Beberapa anggota kemudian telah dikerahkan ke rumah suspek sebelum bertindak menggeledah kediaman tersebut dan menemui beg mangsa bersama ratusan helai seluar dalam wanita,” katanya.
Polis kemudian bertindak menahan suspek yang kemudian mengaku mencuri semua baju dan seluar dalam wanita tersebut.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku telah melakukan kerja-kerja tersebut sejak dua tahun lalu dan kebanyakan pakaian dalam berkenaan dicuri dari kedai dobi layan diri.
“Suspek turut mengakui mengagumi pakaian dalam wanita,” ujarnya. – Agensi