fbpx

Liga Super: Pemain gantian selamatkan TFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMASUKAN beberapa pemain simpanan berjaya mengubah nasib TFC yang berjaya meraih kemenangan aksi pertama menewaskan Perak kelmarin.

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berterima kasih dengan pemain gantian yang memberi impak menyelamatkan maruah skuad Sang Penyu daripada dimalukan Perak pada aksi sulung Liga Super kelmarin.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, anak buahnya beraksi di bawah prestasi sebenar dengan sebahagian besar gerakan dihasilkan serba tidak menjadi selain melakukan beberapa kesilapan mudah yang nyaris dihukum oleh skuad The Bos Gaurus.

“Saya lega kemasukan Nik Sharif Haseefy, Engku Nur Shakir Engku Yacob dan penyerang ‘bidan terjun’, Nnabuike Chukwu sebagai pemain gantian mengubah nasib TFC untuk mengutip mata penuh.

“Ini adalah kemenangan penting, namun saya lihat TFC gagal beraksi baik dalam sebahagian besar 90 minit permainan. Mujur pemain yang masuk dari bangku simpanan menjadi penyelamat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Dalam aksi tersebut, TFC membuka tirai jaringan menerusi Nurillo Tukhtasinov minit keenam sebelum kesilapan Manuel Ott menghadiahkan penalti kepada Perak yang disudahkan Luciano Guaycochea (m-61).

Bagaimanapun, tiga mata menjadi milik TFC selepas pemain pertahanan Perak, Shivan Pillay tertolak masuk bola ke gawang sendiri minit ke-67 berpunca hantaran Nik Sharif disusuli penyudah tepat pemain gantian, Nnabuike hasil umpanan Engku Nur Shakir minit ke-76.

“Nik Sharif antara pemain yang konsisten pada musim lalu selain Syahmi (Zamri) serta Engku Nur Shakir. Saya yakin mereka akan beraksi lebih kerap musim ini walaupun bukan sebagai kesebelasan utama.

“Saya sememangnya mengharapkan impak positif daripada barisan pemainnya termasuk bangku simpanan bagi menghadapi musim ini yang masih panjang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI