PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz mengakui dirinya seorang pendosa yang jujur dan menyesali segala tindakan mengaibkan isteri, Bella Astillah sebelum ini.
Kata Aliff, 33, segala yang berlaku sudah tidak dapat ditarik balik dan dia tidak mempunyai sebarang niat untuk berselindung.
“Dengan apa yang sudah didedahkan, tiada apa lagi yang perlu dibohongkan. Saya seorang pendosa yang jujur,” katanya.
Aliff memberi kenyataan tersebut ketika muncul dalam siaran program televisyen yang bersiaran pada Ahad.
Pada masa sama, Aliff juga mengakui kekurangan diri dan menganggap segala yang berlaku sebagai peluang untuk memperbaiki diri menjadi individu yang lebih baik.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai seorang yang sudah mengakui kekurangan diri, tiada apa yang yang perlu dipertahankan. Segala apa yang berlaku saya akan menangani sampai waktu itu tiba.
“Saya orang yang jauh daripada sempurna yang nak belajar jadi baik. Sekiranya dapat putar balik masa, saya akan tarik balik daripada mengaibkan ibu kepada dua anak saya.
“Orang yang pernah hidup bersama dengan saya. Sekiranya perceraian ini berlaku, hak penjagaan ini akan diberikan kepada ibu, saya tidak akan melawan keputusan hak penjagaan itu.
“Apa yang saya mahukan ialah hak sebagai seorang bapa yang adil seperti melawat dan bermalam dengan anak-anak. Saya tidak mahu hubungan dengan anak-anak terputus atau terhalang,” katanya.
Aliff sebelum ini membuat pendedahkan mendakwa Bella mempunyai hubungan sulit dengan pelakon, Muaz Zabir.
Pelakon drama Cina Buta itu turut meminta agar masyarakat dapat mendoakan kebaikan buat dirinya sekeluarga dan berhenti mengeluarkan kenyataan negatif kepada dia dan keluarga.
“Saya harap sumua akan doakan yang baik. Cakap yang baik. Fikir balik sama ada diri itu sempurna atau tidak sebelum menghukum orang lain. Memaki-hamun orang lain, keluarga orang lain, keturunan orang lain,” jelasnya.
Sebelum itu Aliff dan pelakon Ruhainies ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Aliff bagaimanapun enggan mencerikan Bella pada sebutan kedua kes tuntutan cerai pada 4 April atas alasan masih sayangkan isterinya.
Untuk rekod, Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. – KOSMO ONLINE