KUALA LUMPUR – Bikin gamat! Meskipun tiada dalam senarai persembahan namun gelagat spontan pempengaruh media sosial, Kasih Leona menyanyikan lagu Cinta Setandan Pisang mencuit hati para penonton pada Konsert Loop Music Festival semalam.
Menaiki pentas pada penghujung acara, anak kepada pelakon Azhar Sulaiman itu menyapa mesra para penonton dengan bertanya khabar sebelum menyanyikan lagu yang popular dengan lirik ‘bey sobar bey’ itu.
Dia yang muncul dengan gaun pendek berwarna putih itu turut menari di atas pentas sambil menyanyikan lagu popular asal Kelantan itu.
“Hai semua! Awak nak saya menyanyi ke?
“Bey sobar bey, bey rileks bey, jange jange wi jadi gegey.
“Seronok dapat jumpa semua! Saya cantik tak? Saya sangat teruja dan perlu pergi sekarang!” katanya.
Selain penonton, netizen turut teruja dan terhibur dengan gelagat bersahaja pemilik nama penuh Kasih Iris Leona Azhar itu malah ada yang menyifatkan kemunculannya adalah penutup konsert paling menghiburkan
“Tak sangka Leona muncul, dia kelakar!
“Terhibur betul dengan perangai ‘masuk air’ Leona,” komen netizen.
Sebelum itu, artis lain yang turut mengadakan persembahan pada konsert yang dikuasakan oleh AirAsia dan Tune Group tersebut adalag Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Kugiran Masdo, Amelina dan Noraniza Idris.
Sebelum ini, Leona yang juga merupakan cucu Pengasas Bersama serta bekas Pengerusi AirAsia Berhad iaitu Allahyarham Datuk Pahamin Abdul Rajab beberapa kali mencuri perhatian ramai apabila ‘merosakkan’ lagi raya Ketipak Ketipung Raya milik Aisha Retno dan Aziz Harun menjadi ketiak bau bawang.
Bukan itu sahaja, dia juga turut membuatkan ramai terhibur dengan usaha keras untuk bertutur dengan lancar dalam bahasa Malaysia. – KOSMO! ONLINE