JAKARTA – Sekurang-kurangnya 12 orang termasuk kanak-kanak terkorban, manakala empat lagi hilang selepas banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi melanda barat Indonesia, kata pegawai penyelamat hari ini.
Bencana itu melanda daerah Agam dan Tanah Datar di wilayah Sumatera Barat kira-kira pukul 10.30 malam (waktu tempatan) semalam, selepas hujan lebat selama beberapa jam.
Hujan lebat itu mencetuskan banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari gunung tersebut, demikian menurut agensi mencari dan menyelamat, Basarnas.
Lahar sejuk adalah dari gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.
“Dua belas orang maut dan mayat mereka telah dibawa ke hospital. Empat orang lagi masih dicari di daerah Agam,” kata Ketua Agensi Penyelamat tempatan, Abdul Malik dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sembilan mayat telah ditemui dan dikenal pasti termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun dan lapan tahun.
“Hari ini, kita akan meneruskan pencarian di dua daerah itu,” ujarnya.
Pemerintah tempatan telah menubuhkan pusat pemindahan dan pos kecemasan di beberapa tempat di dua daerah itu. – AFP