fbpx

Kejayaan Cliff Umar cetus kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cliff Umar diumumkan juara GV7 minggu lalu.
MOHD. HAIKAL ISA, Wartawan Eksekutif

 

ADA pepatah berbunyi, kerana mulut badan binasa. Hujung ­minggu lalu, dalam pada Cliff Umar dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-7, dia juga mencetuskan kontroversi apabila secara tidak sengaja me­ngucapkan sesuatu yang ‘menggoncang’ perasaan masyarakat terutama petugas barisan hadapan.

Usai diumumkan sebagai juara GV7, dia berkata, “SOP is irrita­ting” (SOP itu menjengkelkan). Maka, bertubi-tubilah serangan sosial media daripada netizen yang tidak bersetuju dengan apa yang diucapkan itu.

Ada yang berpendapat, gela­ran juara yang dimenanginya wajar ditarik balik kerana tidak sensitif dengan isu pandemik Covid-19. Walhal, Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph

Abdullah tidak se­ngaja mengungkapkan perkara itu.

“Adrenaline rush (adrenalin menderas). Siapa sangka saya akan menang. Apapun, saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak buat mana-mana pihak terasa hati.”

Demikian jawapan Cliff ketika diminta mengulas mengenai kata-katanya yang menganggap pelitup muka membuat rasa tidak selesa ketika diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza 7 (GV7) Ahad lalu.

Ditemui Kosmo! pada sidang akhbar, Cliff berkata, pelitup muka itu sebenarnya mengganggunya untuk memberikan ucapan kemenangan bukan me­nganggap SOP itu tidak penting.

“Saya maksudkan pelitup muka itu mengganggu, apabila saya nak bercakap dan berikan ucapan.

“Bukan ia mengganggu atau saya tidak bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Kata-kata Cliff itu mula me­nuai ciapan di pelbagai platform media sosial apabila dianggap tidak menjaga sensitiviti banyak pihak terutamanya barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan mengikut SOP.

Pada hemat saya, orang ramai perlu sedar bahawa apabila adrenalin kita menderas kerana sesuatu yang menggembirakan terutama bercakap di depan orang ramai, kita akan cende­rung untuk mengucapkan perkara yang tidak sepatutnya.

Di sini, Cliff mungkin terlepas cakap dan dia juga tidak boleh terlepas daripada menerima kritikan terutama sekarang perhatian dan ‘kasih sayang’ orang ramai akan lebih tertumpu kepadanya.

Pada zaman digital sekarang, cabaran yang harus didepani figura popular amat sukar. Semacam anda tersalah buat pusingan di jalan raya, akan mudah terbabas dan berlaku kemala­ngan yang membunuh.

Ada dalam kalangan netizen yang mengharapkan permohonan maaf secara terbuka daripada pihak Astro sendiri kerana apa yang berlaku itu adalah di bawah pengetahuan gergasi penyiaran tempatan tersebut.

Saya sempat bertanyakan kepada Pengurus Saluran Astro Ria (104), Raqim Ahmad berhubung perkara itu.

Katanya, sepanjang GV7 berlangsung, produksi menjaga SOP.

“Kami sangat mengutamakan penjagaan SOP dari minggu 1 sampai 10,” kata Raqim ringkas.

Bagi penulis, Cliff sepatutnya lebih sensitif terhadap isu.

Pada masa sama, penulis faham bahawa kadangkala apabila adrenalin menderas disebabkan perkara yang tidak dijangka berlaku, baik perasaan gembira ataupun amarah, kita cenderung untuk mengucapkan perkara-perkara yang menghiris pera­saan. Itulah lumrah manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI