KUALA LUMPUR – Aksi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi sukan badminton sudah pun berakhir penghujung April lalu dengan senarai akhir pemain yang layak dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kelmarin.
Seperti dijangka, lima wakil negara termasuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (Perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) akan menggalas cabaran Malaysia pada temasya sukan itu nanti.
Kejayaan melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu status yang dimuat naik di laman media sosial Facebook miliknya hari ini.
“Tahniah dan syabas kepada semua atlet badminton negara – Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei atas kejayaan melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024,” tulisnya.
Berakhirnya saingan kelayakan, maka bermulalah misi sukar pemain-pemain badminton negara dalam usaha untuk merealisasikan hasrat Malaysia bagi memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
Terdahulu, Zii Jia yang merupakan bekas juara Asia dan All England sudah menyuarakan keinginannya untuk memenangi pingat emas Olimpik pertama negara pada saingan di Paris nanti. – KOSMO! ONLINE