HULU SELANGOR – Pang Sock Tao bertekad bakal menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat Kuala Kubu Baharu seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto beliau sebelum ini.
Sock Tao yang memulakan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu, hari ini, akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelesaikan isu mendesak seperti masalah jalan raya dan juga pengangkutan awam di kawasan tersebut.
Menurut Sock Tao, dia juga bakal meneruskan legasi mendiang Lee Kee Hiong yang telah menabur bakti di Kuala Kubu Baharu sejak tahun 2013.
“Seperti apa yang dinyatakan dalam manifesto, saya akan bekerja keras untuk menyelesaikan masalah tempatan terlebih dahulu tidak kiralah betapa kecil masalah tersebut.
“Sebarang perkembangan akan saya maklumkan dari masa ke masa. Selain itu, juga akan cuba untuk meningkatkan capaian internet di kawasan ini dan juga menyediakan bas pelancongan untuk mereka yang ingin datang ke Kuala Kubu Baharu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pasar Basah Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sock Tao juga mengagihkan hampir 400 kuntum bunga kepada orang ramai sempena Hari Ibu yang disambut, hari ini.
Mengulas lanjut, Sock Tao berkata, kemenangan beliau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini menandakan kepercayaan tinggi rakyat Kuala Kubu Baharu terhadap pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, dia akan berkhidmat dengan jujur dan ikhlas agar tidak mengecewakan para pengundi dengan kepercayaan yang telah diberikan.
“Saya rasa terharu dengan kemenangan yang diperoleh semalam. Ini juga menunjukkan betapa pentingnya kemenangan ini kepada penduduk setempat.
“Ini juga merupakan satu sokongan dan dokongan serta juga galakan terhadap segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan. Saya akan berusaha supaya kita dapat membantu rakyat,” ulasnya.
Sementara itu, Sock Tap berkata, pejabatnya bakal ditutup pada hari Ahad dan Isnin dan kembali dibuka kepada umum pada hari Selasa.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, PH berjaya mengekalkan DUN Kuala Kubu Baharu menerusi PRK selepas merampas kerusi itu daripada MCA pada 2013.
Begitu pun, Sock Tao menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 3,869 berbanding 4,119 undi yang dimenangani penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong. – KOSMO! ONLINE