IPOH – Seorang kanak-kanak parah apabila bas persiaran dinaikinya bersama 39 penumpang lain terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Honda Accord di Kilometer 264.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Selatan) di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.28 pagi tadi sebelum anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dibantu BBP Kuala Kangsar tiba di lokasi kejadian pukul 7.42 pagi.
Katanya, setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran jenis Hino dan sebuah kereta jenis Honda Accord telah terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
“Terdapat 41 mangsa terlibat iaitu 40 orang dalam bas termasuk pemandu bas dan seorang mangsa pemandu kereta tersebut.
“Kesemua mangsa dalam bas mengalami kecederaan, manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami kecederaan. Tiada mangsa yang dilaporkan maut,” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, komander operasi melaksanakan size-up dan mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan Hidraulik Rescue Tools.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa dibawa ke hospital dengan tiga buah ambulan Kementerian Kesihatan, dua buah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba dan dua buah ambulans Angkatan Pertahanan Awam.
“Kerja-kerja memeriksa bahagian bawah bas sedang dilakukan dengan menunggu bantuan kren bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertingga,” katanya.
Difahamkan, bas tersebut dalam perjalana dari Kupang, Kedah menuju ke Ipoh bagi menghadiri acara keagamaan. – KOSMO! ONLINE