fbpx

UMNO perlu cara mengusik jiwa, tarik sokongan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 di WTCKL, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mencipta sentimen serta menerajui naratif pemikiran rakyat, seterusnya memahami permainan dengan emosi dan perasaan bagi mendapatkan sokongan kuat dalam kalangan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO juga perlu mengubah pendekatan termasuk menggunakan cara halus dan lunak yang mengusik jiwa dalam menarik pengundi kepada parti itu.

“Justeru, manfaatkan kemajuan pelbagai platform media sosial. Terokai TikTok dan Instagram kerana di sini tempat anak muda berkumpul sebagai medium dekati pengundi 18.

“Perkembangan Artificial Intelligent (AI) merupakan cabaran baharu yang akan menjadi ledakan dalam membentuk pemikiran rakyat.

“Sebab itu saya tegaskan pimpinan UMNO kena terkehadapan dalam usaha melonjakkan semula citra parti dalam upaya untuk kita mendominankan semula parti keramat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ahmad Zahid turut memuji pendekatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Halem di Melaka yang memanfaatkan media baharu melalui penyampaian yang sangat dekat di hati rakyat di kawasannya.

“Saya lihat YB Duyong cukup popular di media sosial khususnya TikTok menerusi video-video turun padang serta dijadikan medium bagi menyatakan pandangan terhadap sesuatu isu. Dia memiliki hampir 950,000 pengikut dan meraih 20.4 juta ‘likes’ di TikTok sahaja.

“Inilah yang saya katakan UMNO perlu berubah. Kita mesti menguasai platform media sosial. Cipta sentimen, naratif dan aura positif untuk dekati rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mahu lebih ramai pemimpin UMNO, bermula dari peringkat Majlis Kerja Tertinggi sehingga ke Bahagian, ADUN dan Ahli Parlimen mula menerokai ‘dunia baharu’ dan tidak lagi berada di takuk cara lama.

“Jadikan kelemahan menempuhi pilihan raya lalu, untuk kita mencorak kemenangan di masa hadapan. Jangan berasa selesa, hanya kita berada di tampuk kuasa.

“Ini masanya untuk pemimpin kehadapan bagi menjadi ‘pembuluh darah’ demi kelangsungan anak watan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI