LONDON – Manchester City serius untuk melakar sejarah baharu selepas kembali memintas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menewaskan Fulham 4-0 sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain-pemain utama seperti Phil Foden, Erling Haaland dan Kevin de Bruyne berada dalam kesebelasan utama.
City tidak mempunyai masalah untuk meraih jaringan seawal minit ke-13 hasil penyudah yang dilakukan oleh pemain pertahanan, Josko Gvardiol yang bijak memanfaatkan hantaran De Bruyne.
Bersambung pada babak kedua, City semakin cemerlang dalam usaha memburu tiga mata berharga dengan kini giliran Foden mencetak nama selaku penjaring selepas menyudahkan umpanan Bernardo Silva pada minit ke-59.
Gvardiol sekali lagi mempamerkan ketajaman dihadapan gawan apabila meledak gol kedua peribadi selepas Silva melakukan hantaran tepat berselang 12 minit kemudian.
Nasib Fulham bertambah malang apabila diarahkan beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan apabila Issa Diop melakukan kekasaran dalam kotak penalti sekali gus dilayangkan kad merah.
Kesempatan tersebut digunakan sebaiknya oleh City yang berjaya meraih gol keempat menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Julian Alvarez.
Kemenangan itu menyaksikan City kini memintas Arsenal dengan mengutip 85 mata selepas mengharungi 36 perlawanan.
Guardiola mempunyai misi untuk membantu City melakar sejarah dengan menjadi kelab pertama menjulang EPL empat musim berturut-turut. – AGENSI