PETALING JAYA – “Bukan Raja Azura yang berkahwin.”
Demikian penjelasan sumber terdekat pasangan mempelai yang mengesahkan persandingan dikongsi pelakon dan pengacara terbabit adalah majlis orang lain.
Pencerahan itu sekali gus menangkis spekulasi perkahwinan Raja Azura atau nama sebenarnya Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, seperti dikongsikan dalam Instagramnya malam tadi.
Difahamkan, pernikahan itu membabitkan kerabat Diraja Perak, Raja Muzaffar Idris Shah Raja Izzuddin Iskandar Shah Al-Haj.
Sementara itu, video dalam TikTok milik @saifalsagoff atau Syed Saif Alsagoff turut menujukan mengucapkan tahniah kepada pengantin sebenar iaitu sepupunya, Raja Muzaffar dan isteri.
Menerusi video dikongsikan, pasangan mempelai sedondon mengayakan persalinan rona putih pada hari bahagia mereka.
Selepas itu kelihatan Raja Azura mengetuai pembawa dulang hantaran masuk ke dalam dewan diikuti pengantin perempuan bersama keluarganya.
Kemudian, video tersebut menunjukkan kembali wajah raja sehari duduk di atas pelamin ketika acara berlangsung.
Pengantin lelaki juga dikatakan merupakan saudara terdekat kepada Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku.
Malam tadi, Raja Azura memuat naik video seakan-akan dia yang bernikah sehingga ramai percaya selebriti serba boleh itu kembali bergelar isteri orang selepas 14 tahun menjanda.
Menerusi video yang kini meraih lebih 800,000 tontonan, aktres tersebut memakai baju kurung putih sambil berjalan menuju ke pelamin.
Kapsyen ditulis pada video yang tular itu turut menguatkan lagi spekulasi hatinya kembali dimiliki insan bergelar suami.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnianya. Semoga ikatan ini kekal hingga ke jannah.
“Kepada yang selalu mendoakan, dari sendirian kini telah berdua. Terima kasih yang Allah,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, netizen mengakui terhibur dengan kekecohan dicetuskan pelakon terbabit yang disifatkan sarat plot twist.
“Satu Malaysia kena scam dengan Kak Engku,” kata seorang pengikut laman berkenaan.
“Dengan aku sekali kena tipu,” ujar netizen lain.
Begitupun, usaha Kosmo! Online mendapatkan maklum balas Raja Azura belum berhasil apabila panggilan tidak dijawab.
Sebelum ini Raja Azura pernah mendirikan rumah tangga dengan anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff iaitu Adzmin Osman pada Mac 2001.
Namun jodoh mereka tidak panjang apabila bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 22; Megat Luqman Hakim, 21; dan Puteri Mia Maizura,19. – KOSMO! ONLINE