IPOH -Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat hari ini susulan tular kenyataan di laman sosial Facebook (FB) yang didakwa memfitnahnya berkaitan pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang baharu.
Kenyataan yang tular hari ini itu berbunyi, ‘5 lagi Exco kerajaan Perak angkat sumpah petang ini. Namun pelantikan itu tidak melibatkan ADUN Pas. Kata Mohd. Annuar Zaini. Cukup dah 10 Exco. Amacam?’.
Menurut Mohd. Annuar, kenyataan tular itu bukan sahaja tidak benar dan berunsur fitnah malah dilihat menjatuhkan kredibilitinya sebagai Ahli Dewan Negara Perak.
“Saya tidak pasti siapa yang menularkan kenyataan itu di laman sosial FB dan tujuan laporan ini dibuat adalah menafikan dakwaan tersebut sekali gus membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.
“Saya bimbang kenyataan itu menjejaskan nama baik istana Perak dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kampung Rapat di sini hari ini.
Mohd. Annuar berkata, setiap pihak harus bertanggungjawab dan beretika dalam menyiarkan sebarang berita yang seharusnya berfakta dan benar bagi mengelakkan timbul sebarang polemik dan fitnah.
“Saya rasa benda (dakwaan) ini berniat tidak baik. Kita sudah sampai ke peringkat dapat menyelesaikan (krisis politik) dan Sultan Perak juga sudah pun memperkenankan ditubuhkan sebuah kerajaan.
“Kerja-kerja melagakan dan lebih-lebih lg melibatkan nama saya yang mana saya dilihat sebagai jurucakap bagi pihak istana, seolah-olah apa yg ditularkan itu orang akan percaya.
“Dakwaan seolah-olah ADUN Pas tidak akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri itu juga bagi saya tidak baik dan berniat nakal pada saya,” katanya. -K! ONLINE