BANGKOK – Seorang lelaki Britain ditahan selepas memberikan ulasan palsu dan penarafan satu bintang terhadap sebuah restoran di Thailand, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Lelaki berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Alexander itu dipercayai ingin menggunakan restoran tersebut sebagai jalan pintas untuk masuk ke kondominiumnya di Phuket.
Bagaimanapun, pemilik restoran melarangnya berbuat demikian.
Untuk membalas dendam, Alexander dikatakan meminta bantuan rakannya untuk membanjiri restoran itu dengan ulasan negatif, menyebabkan rating premis berkenaan menjunam daripada 4.8 kepada cuma 3.1.
Susulan itu, pemilik restoran membuat laporan di Balai Polis Sakhu dan mendakwa bahawa komen negatif telah menjejaskan reputasi premis berkenaan.
Alexander kemudian ditahan di kediaman baharunya di Bangkok. – AGENSI