JAKARTA – Seorang wanita lulusan sekolah menengah dari Ponorogo, Pulau Jawa memperoleh pendapatan mencecah 100 juta rupiah (RM29,511) sebulan dengan bekerja sebagai pekerja pembersih rumah di Amerika Syarikat (AS), lapor portal berita Tribun Trends semalam.
Wanita dikenali sebagai Tatik Wuryanti itu melakukan pekerjaan tersebut dari rumah ke rumah dan bekerja di AS selama lebih 10 tahun.
Tatik berkata, dia mempunyai 14 pelanggan tetap dan pada setiap hari, wanita itu boleh membersihkan antara dua hingga tiga buah rumah.
Wanita itu menghabiskan masa selama 5 hingga 6 jam sehari untuk membersihkan rumah yang besar, sementara bagi kediaman kecil, dia mengambil sekitar 4 jam untuk melakukan kerja itu.
“Bekerja keras. Insyaallah hasilnya memuaskan, tetapi letih,” katanya.
Disebabkan pelanggannya ramai, wanita itu pernah bekerja selama tujuh hari dalam seminggu. – AGENSI