SEREMBAN – Meskipun hanya terbaring kaku, semangat Jahidah Nordin, 45, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga masih kuat.
Adiknya, Fauziah, 43, berkata, biarpun mengalami kecederaan parah, kakaknya sesekali dilihat mengelipkan mata ke arah anaknya, Eshan Nufail yang berusia tiga tahun seolah-olah mengetahui itu adalah zuriatnya.
“Kakak Jahidah masih tidak memberi tindak balas, tetapi tahap kesihatan semakin baik dan tenang.
“Doktor kata perkembangan kakak setakat itu sahaja, Dia memang tidak boleh kembali sempurna. Kita pun tidak tahu apa yang dia rasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sendayan di sini semalam.
Pada 4 Mei 2021, Kosmo! melaporkan Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma dengan sebahagian tempurung kepala dibuang ekoran pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul suami.
Pada mulanya Jahidah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga. Wanita itu melahirkan Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.
Fauziah memaklumkan, memiliki anak merupakan impian Jahidah selepas berkahwin pada usia 42 tahun. Katanya, anak tunggal Jahidah suka bermain dengan ibunya dan menunjukkan kasih sayang dengan memeluk Jahidah.
Bagaimanapun, katanya, Eshan Nufail yang berat badannya 7.5 kilogram masih belum boleh berdiri dan bercakap kerana perkembangan fizikalnya tidak seperti kanak-kanak sebaya bermungkinan disebabkan kekurangan nutrisi ketika Jahidah hamil. – KOSMO! ONLINE