fbpx

Malaysia cadang UNFF diperkasa dalam instrumen bersifat sukarela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi.

PUTRAJAYA – Malaysia mencadangkan Forum Perhutanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFF) diperkasakan daripada suatu instrumen bersifat sukarela dan tidak mengikat kepada kerangka yang lebih formal berbentuk konvensyen.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia mampu mengukuhkan komitmen sesebuah negara dalam pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan sumber hutan secara
berkekalan.

“UNFF merupakan satu forum bagi membincangkan pembangunan dasar, khususnya pelaksanaan pengurusan hutan secara berkekalan (PHSB) dan dialog secara berterusan di antara kerajaan dan organisasi antarabangsa serta lain-lain pertubuhan berkepentingan mengenai perhutanan.

“Mesyuarat UNFF diadakan pada setiap tahun dan Malaysia telah mengikuti setiap sesi forum secara aktif,” katanya dalam kenyataan selepas mengetuai delegasi Malaysia pada sesi ke-19 UNFF (UNFF19) berlangsung di New York, Amerika Syarikat pada 6 hingga 10 Mei.

Katanya, sesi UNFF19 kali ini memfokuskan kepada perkara-perkara dasar pengurusan perhutanan yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi Peringkat Pegawai dan sesi Peringkat Tertinggi (HSL) melibatkan penyertaan dirinya.

“Semasa sesi sidang meja bulat sempena HLS pada 9 Mei lepas, saya telah menyatakan bahawa Malaysia sentiasa komited untuk mengekalkan 50 peratus litupan kawasan berhutan berbanding keluasan tanah selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

“Sehingga kini, Malaysia mempunyai 54.58 peratus atau 18.05 juta hektar kawasan berhutan dan litupan pokok,” ujarnya.

Pada forum berkenaan juga, Nik Nazmi berkata, beliau telah menjelaskan tentang pentingnya bantuan kewangan antarabangsa melibatkan institusi kewangan global seperti Global Environment Facility kepada negara-negara ahli UNFF melalui pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti khususnya negara-negara membangun.

Beliau berkata, ini bagi membantu mereka melaksanakan inisiatif-inisiatif PHSB memelihara dan memulihara khazanah hutan yang amat berharga.

Jelasnya, Malaysia turut menekankan bahawa sebagai sebuah negara membangun, pembangunan ekonomi negara dilaksanakan berdasarkan prinsip Common but Differentiated Responsibilities and Respective Capabilities (CBDR–RC).

“Berdasarkan komitmen yang dibuat melalui Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala, Malaysia akan sentiasa memainkan peranan penting bagi memastikan sumber alam semula jadi dipelihara dan dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Pada akhir sesi UNFF19, dokumen-dokumen HLS Declaration dan Omnibus Resolution telah diterima pakai,” katanya.

Malaysia juga jelasnya, telah memaklumkan mengenai protokol Forest Conservation Certificate, iaitu sebuah instrumen bukan berasaskan pasaran di bawah Kerangka Kewangan REDD Plus yang telah dimuktamadkan.

“Malaysia bertekad untuk memastikan sektor perhutanan akan memainkan peranan yang signifikan di dalam menyumbang projek-projek karbon yang boleh didagangkan serta menjana pendapatan baharu kepada negera, khususnya dan pencapaian Nationally Determined Contributions dan sasaran karbon sifar bersih negara, amnya,” katanya.

Beliau percaya pendekatan strategik yang diambil oleh Malaysia semasa sesi UNFF19 dapat mengetengahkan kepentingan sektor perhutanan kepada pembangunan sosioekonomi, konservasi biodiversiti dan kestabilan alam sekitar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI