fbpx

Waspada tawaran pakej haji guna visa pelancong -TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di negara ini supaya lebih berwaspada dengan tawaran pakej haji oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa tidak sah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pemberian visa haji selain melalui kuota rasmi Malaysia merupakan hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

Menurutnya, kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan rukun Islam kelima itu hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah.

“Visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab.

“Setiap kali tibanya musim haji, akan ada segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan, seorang individu mengalami kerugian kira-kira RM40,000 selepas mendakwa diperdaya sebuah agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji menggunakan visa pelancong.

Menerusi perkongsian di Facebook oleh Zhyema Zhyedee, kejadian itu dialami rakannya yang kini terkandas di Mekah.

Dalam pada itu, Syed Hamadah berkata, adalah penting bagi orang ramai memeriksa terlebih dahulu setiap tawaran yang diberikan termasuk jenis visa yang digunakan.

Menurutnya, Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan jemaah haji dari seluruh dunia.

“Kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisyen bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair.

“Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10,000,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, TH menasihati bakal haji untuk lebih berhati-hati dan hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji oleh 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH bagi Musim Haji 1445H/2024M.

Ujarnya, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI