SHAH ALAM- Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim tidak akan menerima sebarang pelawat dalam tempoh dua minggu ini disebabkan prosedur skin allograft yang sedang didudukinya ketika ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi berkata, larangan ini dibuat bagi mengelak Faisal daripada dijangkiti kuman atau komplikasi penyakit ketika menjalani tempoh prosedur itu.
“Alhamdulillah, Faisal telah selamat menjalani pembedahan ketiga tempoh hari (kelmarin) menerusi kaedah skin allograft iaitu pemindahan kulit sihat ke kawasan tubuh yang mengalami kelecuran.
“Faisal masih lagi ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan berada dalam keadaan stabil namun tempoh dua minggu mendatang ini sangat penting dan kritikal memandangkan prosedur skin allograft ini memerlukan Faisal diasingkan dengan pemantauan rapi dan ketat oleh pasukan perubatan,” katanya pada hari ini.
Walaupun terpaksa menjalani prosedur itu dalam tempoh yang lama, menurut Najwan, Faisal dilihat semakin bersemangat mengharungi prosedur itu kerana dia mahu cepat sembuh.
Dalam pada itu, Najwan berharap seluruh rakyat Malaysia untuk tidak putus berdoa kepada pemain bola sepak Selangor FC, supaya dia cepat sembuh dan dapat kembali mewarnai kancah bola sepak negara.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Faisal disimbah asid sulfurik oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Selangor.
Difahamkan semasa kejadian, pemain bahagian sayap kanan pasukan kebangsaan sedang mengambil keretanya di tempat parkir kereta pusat itu sebelum disimbah asid berkenaan. -KOSMO!ONLINE