HULU SELANGOR – Dinding Masjid Warisan Al-Hidayah Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu, di sini dikesan telah diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab.
Lebih mengejutkan, dinding rumah ibadat itu telah ‘dihiasi’ dengan perkataan kesat sekaligus menyentuh sensitiviti agama Islam.
Difahamkan, kejadian disedari jemaah masjid selepas selesai solat Subuh, pagi tadi.
Susulan itu, pengurusan masjid tersebut telah mengecat semula dinding berkenaan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan kejadian dan pihaknya sedang melakukan siasatan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu.
Hari ini, berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Kecil (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Sebanyak 18 pusat pengundian dibuka serentak pada pukul 8 pagi ini untuk orang ramai mengundi pemilihan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu.
Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi.-KOSMO! ONLINE.