HULU SELANGOR – Meskipun terlantar kerana sakit, itu tidak menjadi batu penghalang kepada seorang warga emas, Zul Majid, 63, yang tetap keluar mengundi walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
Zul yang ditemui di SMK Ampang Pecah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini kelihatan sebak ketika ditanya mengenai harapannya mengenai calon yang bertanding.
“Harapan saya sebagai pengundi, jagalah rakyat. Jangan bagi rakyat susah. Jangan pertikaikan isu perkauman, bangsa dan agama,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan SMK Ampang Pecah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zul sempat menyuarakan kegembiraannya kerana dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Malah, menurut Zul, ini merupakan kali pertama dia keluar mengundi setelah terlantar akibat sakit sejak tahun 2020.
“Mulanya saya kencing manis, kemudian saya strok. Perasaan dapat keluar mengundi, memang tidak terkata seronoknya.
“Ini mungkin kali terakhir saya turun mengundi,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.
Daripada jumlah tersebut, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
PRK kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. – KOSMO! ONLINE