ROM – Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic mengalami kecederaan di kepala selepas dibaling botol air oleh individu tidak dikenali selepas aksi menentang wakil Perancis, Corentin Moutet pusingan kedua Terbuka Itali awal pagi semalam.
Pada perlawanan kejohanan bertaraf Masters itu, Djokovic tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan straight-set 6-3, 6-1 untuk lolos ke pusingan ketiga.
Namun, ketika melayan peminat sebelum menuju ke bilik persalinan, Djokovic yang juga pemenang Grand Slam 24 kali telah dibaling botol air sehingga meraung kesakitan di atas gelanggang.
Menerusi jurucakap Persatuan Tenis Itali (FITP), Djokovic yang berusia 37 tahun tidak mengalami kecederaan yang serius dan terus pulang ke hotel tanpa perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
“Tidak perlu risau kecederaan Djokovic kerana tidak terlalu serius. Kami jangka dia tidak akan menarik diri selepas insiden ini dan pihak keselamatan juga sedang mengenal pasti individu terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Djokovic yang telah bergelar juara enam kali di Terbuka Itali dijadualkan bertemu pemain Chile, Alejandro Tabilo pada aksi pusingan ketiga malam ini.
Sementara itu, pemain pilihan ketiga, Alexander Zverev turut mara ke pusingan ketiga selepas mudah menyingkirkan wakil Australia, 6-0, 6-4 semalam. – AGENSI