Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI, NUR AMEERA ABDUL RASID
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia secara umumnya dilihat lebih tenang, bahkan akan menolak mana-mana pihak termasuk pemimpin yang mengasak serta memainkan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, justeru beliau menasihatkan mana-mana pemimpin untuk memberikan contoh terbaik kepada pengikutnya sekali gus mengelakkan timbulnya keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam Islam, pemimpin disebut sebagai ulil amri dan kita menjadi contoh yang baik. Sekiranya pemimpin tidak mampu menunjukkan contoh terbaik, maka kesannya kepada para pengikut.
“Pesanan saya kepada pemimpin, Perdana Menteri acapkali sebut iaitu tak salah nak kritik kerajaan, tapi jangan sentuh isu 3R terutama aspek institusi raja-raja. Sekiranya ia disentuh, maka tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Program Saringan Kesihatan Lembah Pantai di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menyarankan supaya sebarang debat atau perbahasan yang dibuat mesti dengan bukti, hujah dan fakta serta bukan mengikut emosi.
“Yang kita nak ialah dasar lebih baik untuk pembangunan negara. Kita nak rakyat hidup aman damai, bersatu padu dan inilah kekuatan kita. Mereka yang menangguk air keruh, sudah pasti tak ada habuan.
“Sekiranya mereka menggunakan cara ini (isu 3R), Malaysia tidak amalkan cara tersebut. Itu sebabnya walaupun diasak isu 3R, secara umum rakyat Malaysia sangat tenang, relaks dan kita terus hidup damai. Rakyat tolak mereka yang guna isu 3R,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan dari DAP, Pang Sock Tao, selain mendakwa parti dianggotai wanita itu mengamalkan pendekatan ekstrem.
Abdul Hadi menerusi amanatnya pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) dilaporkan berkata, DAP yang lahir daripada PAP di Singapura adalah parti ekstrem dan melampau serta mahu merampas kuasa politik secara halus dan licik sehingga boleh menyebabkan kekacauan dalam negara. – KOSMO! ONLINE